Jumat, 15 Juli 2011

Kisah Ayub di dalam Alkitab

Kisah Ayub


Watak utama kisah ini daripada kitab Perjanjian Lama ialah Ayub. Kebanyakan perkataan kitab ini diucapkan oleh Ayub dan para penasihatnya, tetapi Ayub bukan penulisnya (Ayub 1:1). Nampaknya Musa orangnya yang menulis Kitab Ayub.

Ayub ialah seorang anak Isakhar (Kejadian 46:13) dan sebab itu dia ialah cucu Yakub. Isakhar merupakan suku yang paling jelas memahami kalendar Tuhan. Bukan saja Ayub mengenali Allah yang Maha Esa, tetapi dia juga mengetahui hari-hari yang betul untuk beribadah kepada Tuhan.

Ayub sering digambar sebagai seorang Arab yang memerintah satu daerah – negeri Us – yang sampai Sungai Efrat. Ayub merupakan orang terkaya di negeri timur itu (Ayub 1:3).

Tentang panggilannya sebagai seorang luar biasa, Ayub bukan itu sebenarnya. Mungkin dia mendapat panggilan ini kerana dia seorang yang amat bijak dan seorang jurutera cekap (Ayub 3:11-15; 29:21-25).

Apa yang menonjol tentang Ayub ialah dia menurut segala Hukum Tuhan dan menggunakan kuasanya untuk melindungi orang yang tidak berdaya (Ayub 29:7-17). Dia menggunakan pengaruhnya demi kepentingan Allah Maha Esa, dan pada waktu sama berusaha menghapuskan kepercayaan dalam tuhan-tuhan pagan (Ayub 29:20-22, 25).

Bahagian kehidupan Ayub yang diceritakan dalam Kitab Suci bersangkutan dengan tahun-tahun hidup dewasanya. Dia telah menjadi seorang yang lebih terkenal dan dihormati daripada sebelumnya. Dia lebih kaya lagi, memiliki tujuh ribu ekor domba, tiga ribu ekor unta, satu ribu ekor lembu dan lima ratus ekor keldai. Ayub memiliki banyak bangunan, banyak tanah untuk penggembalaan ternakannya. Dia juga mempunyai rumah yang sangat baik, dan banyak bangunan serta khemah dalam mana hamba-hambanya, orang upahan dan gembala-gembalanya tinggal (Ayub 1:3).

Bagaimanapun, harta Ayub yang terbesar sekali ialah sepuluh anaknya yang sudah dewasa – tujuh lelaki dan tiga perempuan. Mereka mempunyai rumah mereka sendiri yang selesa dalam mana mereka sering berkumpul untuk mengadakan jamuan-jamuan makan malam dan pesta-pesta hari lahir. Ayub memperhatikan bahawa mereka mengadakan banyak sekali pesta dan merasakan mereka mungkin melakukan berdosa. Oleh itu, dia kerapkali memberi korban demi mereka. Doa-doanya yang tak henti-henti kepada Tuhan adalah supaya Pencipta berbelas kasihan kepada keluarganya (Ayub 1:4-5). Nampaknya Ayub tidak menghadiri pesta-pesta hari lahir ini dalam mana mereka merayakan “hari mereka”. Hari lahir dan pesta hari lahir mempunyai asal usul pagan. Lihat karya Hari Lahir (No. 287).

Orang ramai sudah lama diajarkan bohong bahawa satu pertempuran besar sedang berlaku antara kuasa-kuasa baik dan jahat dengan Tuhan sebagai wakil kebaikan dan Iblis sebagai wakil kejahatan. Oleh itu, ini kelihatan seperti satu perang yang berpanjangan antara Tuhan dan Iblis, dengan tiap satunya berganti-ganti mengelak pukulan kuat dari yang satu lagi, dan proses ini berulang abad demi abad sehingga Tuhan akhirnya mengenakan satu pukulan menang terakhir yang membuatkan semuanya menjadi betul.

Tuhan membataskan kuasa Iblis

Ini bukan keadaannya. Tuhan ialah Raja semesta alam dan segala di dalamnya (Daniel 14:17, 25, 32; Ayub 38:1-19). Iblis ialah tuhan atau penguasa dunia ini (Efesus 2:2). Dia takluk di bawah kuasa dan kekuasaan Tuhan. Dia hanya boleh melakukan apa yang Tuhan izinkan dia lakukan. Dengan kata lain, Tuhan boleh dan memangpun mengizinkan kejahatan berlaku dengan memberi izin kepada Iblis untuk menggoda atau mencuba orang-orang yang memerlukan pengajaran, namun Tuhan hanya membenarkan Iblis sampai ke satu tahap saja dalam melakukan hal-hal tertentu.

Tuhan mengawasi semua malaikat, termasuk malaikat derhaka, atau iblis setan. Jika Dia memanggil mereka menghadapNya untuk memberi laporan, mereka harus taat, termasuk Iblis.

Pada waktu ini, ketika hayat Ayub, Iblis datang bersama malaikat lain untuk menghadap Tuhan dan ditanya apa yang telah dia lakukan. Jawapannya ialah dia telah mengelilingi dan menjelajahi Bumi. Dia tidak mampu berbohong kepada Tuhan. Menjelajah sudah lama menjadi aktivitinya bersama dengan iblis setannya, sambil mencari peluang untuk memisahkan manusia daripada Tuhan (Ayub 1:6-7).

“Kalau engkau sudah pergi ke seluruh Bumi, maka kamu pasti telah memperhatikan bahawa seorang yang bernama Ayub merupakan salah seorang hambaku yang paling taat sekali,” Tuhan berkata kepada Iblis. “Apa pendapat kamu tentang dia?”

“Aku mengenal orangnya,” Iblis menjawab. “Aku tahu engkau telah memberinya kekayaan, kuasa dan kebolehan besar. Pada waktu sama engkau telah melindunginya dan keluarganya daripada kesusahan, penyakit dan kematian. Dia tahu segala berkat ini datang daripadamu, jadi dia berusaha untuk taat kepadamu. Tetapi ambil kemakmuran dan keselesaan ini daripadanya, dan dia akan berpaling daripadamu. Malah, dia akan mengutuk Engkau!” (Ayub 1:8-11). Perhatikan bagaimana Iblis mengaku Allah maha berkuasa dan mampu melindungi Ayub sepenuhnya daripadanya.

“Kamu ingin sekali musnahkan iman orang ini,” Tuhan berkata. “Aku akan memberimu peluang untuk mengujinya. Lakukan kepadanya apa yang kamu ingin, tetapi jangan sakiti tubuhnya” (ayat 12). Perhatikan bagaimana Tuhan menetapkan batas pada kejahatan Iblis, dan membiarnya sampai satu takat saja dalam menggoda dan mencuba Ayub. Iblis tidak tahu bahawa Tuhan menggunakannya untuk mengajar Ayub pengajaran yang amat diperlukan. Namun Iblis fikir dia mendapat peluang untuk membinasakan salah seorang hamba Tuhan. Iblis berangkat, tidak sabar-sabar untuk mendatangkan kesusahan kepada salah seorang pengikut Tuhan yang paling setia. Tidak lama kemudian Ayub, yang sedang memeriksa sebahagian kebun anggurnya, dikejutkan oleh kedatangan riuh salah seorang pembajaknya.

Kemusnahan tiba-tiba datang

“Kami sedang membajak ladang-ladangmu di sempadan timur,” kata orang itu dengan asyiknya, “apabila satu pasukan orang Syeba berkuda menyerbu kami! Mereka membunuh semua kecuali aku, dan mengambil semua lembu dan semua keldai yang memakan rumput berhampiran!”

Sebelum Ayub yang terkejut dapat berbuat apa-apa, seorang lagi orangnya dengan penat berlari kepadanya untuk memberitahunya bahawa satu siri kilat telah menyambar di mana semua domba dan gembala berkumpul, sehingga semua domba itu mati dan dia seorang saja yang terlepas.

Orang kedua ini belum lagi habis memberi berita sedih itu apabila seorang ketiga bergegas ke arah Ayub, sambil melambai-lambai tangannya dan berteriak.

“Tiga pasukan orang Kasdim menyerang tempat penggembalaan unta!” orang yang ketakutan itu berkata. “Mereka membunuh orang-orangmu, kemudian mengambil kesemua tiga ribu unta! Aku sempat melarikan diri untuk memberitakannya kepadamu!” (Ayub 1:13-17).

Ketiga-tiga berita ini membuatkan Ayub terdiam terkejut. Dia hampir tidak percaya bahawa kerugian begitu besar boleh datang tiba-tiba sekali. Perlahan-lahan dan dalam keadaan bingung dia duduk bersandar pada batang pohon. Tiba-tiba dia menyedari adanya orang keempat berdiri di sampingnya, berkata-kata dan melambai liar tangannya.

Ayub bergetar dengan fikiran yang timbul dalam fikirannya. Dengan semua ternakannya hilang, apa saja berita buruk lain tentunya mengenai keluarganya!

Tragedi menyedihkan

“Aku kenal siapa kamu,” Ayub berkata kepada orang itu. “Kamu seorang daripada hamba dari rumah anak sulungku. Khabar sedih apa yang kamu ada untukku?”

“Mungkin tuan tidak mendengar apa yang baru aku katakan,” kata hamba yang nampak sedih itu. “Dukacitanya aku ulangi bahawa semua anak-anakmu baru saja mati ditimpa dalam kerobohan rumah anak sulungmu!” (Ayub 1:18-19).

Ini merupakan pukulan terbesar bagi Ayub, sungguhpun pada masa ini dia tidak lagi terlalu terkejut dengan berita dahsyat itu. Dengan pilunya dia mengangkat wajahnya untuk menatap mata hambanya yang bergetar.

“Bagaimana ia terjadi?” Ayub bertanya. “Semua anakmu lelaki dan perempuan berkumpul untuk pesta makan malam di rumah anak sulungmu,” jelas hamba itu. “Mereka semua berada di dalam, makan dan minum dengan riang. Tiba-tiba angin ribut melanda rumah itu, mencabutnya daripada dasarnya kemudian melemparnya dengan kuat sekali sehingga hancur remuk. Aku berada tidak jauh dari rumah itu, sedang membawa buah segar untuk mereka, dan aku terpukul sampai jatuh ke tanah. Aku bersusah payah bangun, bergegas ke rumah rosak itu dan membuka cukup banyak runtuhan, dengan bantuan tetangga, dan mendapati bahawa tujuh anak lelaki dan tiga anak perempuanmu telah mati semuanya!”

Ayub dengan gemetar berdiri dan berjalan perlahan-lahan ke arah rumahnya. Dalam perjalanannya dia mengoyakkan jubahnya. Waktu itu isterinya memandang ke luar rumah dan melihat perbuatan ini, yang di Timur purba merupakan satu tanda dukacita besar.

”Apa terjadi?” isteri Ayub memanggil sambil berlari menemuinya.

Sesudah Ayub memberitahunya, isterinya sambil tersedu-sedu mengiringinya ke rumah. Ayub cuba menghiburkannya, tetapi dia tidak begitu berjaya. Dia meninggalkan isterinya sendirian, mencukur kepalanya, keluar rumah dan sujud menyembah, dengan mukanya ke tanah. Cukuran kepala itu juga merupakan tanda purba untuk dukacita, walaupun tidaklah lebih aneh, mungkin, daripada kebiasaan kita hari ini memakai pakaian hitam dan ban lengan hitam ketika dan selepas penguburan, yang semakin berkurangan.

Ayub tidak mahu merungut

“Aku lahir ke dalam dunia ini dengan telanjang tanpa apa-apa,” Ayub berbisik. “Memang adil yang aku keluar daripadanya tanpa apa-apa. Ketika aku berada di sini, Tuhan telah mengizinkan aku banyak perkara baik, dan aku bersyukur kepadaNya dan memujiNya untuk segala itu!”

Ayub bersikap baik terhadap Tuhan, walaupun Tuhan telah mengizinkan Iblis melenyapkan kekayaannya, anak-anaknya, dan kegembiraannya. Bagaimanapun, Iblis tidak berjaya membuat Ayub berdosa dengan mengadu terhadap Tuhan (Ayub 1:20-22).

Beberapa lama kemudian, apabila para malaikat sekali lagi menghadap Tuhan untuk melaporkan segala aktiviti mereka, Tuhan bertanya Iblis seperti yang sebelumnya.

“Aku jelas mengetahui apa yang sudah engkau lakukan kepada hambaku Ayub,” Tuhan mengingatkan Iblis. “Engkau tentu nampak bahawa dukacitanya terhadap kehilangan yang engkau sebabkan tidak menyebabkan dia mengutuk aku, seperti engkau katakan.”

“Dia terus setia hanya kerana engkau tidak mengizinkan aku menyakiti tubuhnya,” balas Iblis. “Jika seseorang menderita kesakitan jasmaniah yang amat sakit, sehingga dia merasakan dia akan mati, dia akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan dirinya. Izinkan aku membawakan penyakit pada Ayub dan dia pasti cepat melepaskan ketaatannya dan berpaling mengutuk engkau.”

“Kita akan lihat kalau kamu silap lagi,” kata Tuhan. “Kamu boleh lakukan apa yang kamu ingin dengan Ayub, hanya jangan ambil nyawanya” (Ayub 2:1-6).

Dilepas pergi, Iblis kembali ke Bumi, senang hati kerana dia sekali lagi diberikan peluang untuk melihat jika dia boleh membuat Ayub menderhaka terhadap Penciptanya. Dia kini mempunyai izin untuk mengambil kesihatan Ayub dan sumber pendapatannya yang terakhir.

Satu pagi apabila Ayub bangun dia gelisah bila mendapati dia sangat sakit di seluruh badannya. Pada mulanya dia atau isterinya tidak tahu kenapa dia berasa begitu sakit, tetapi dalam beberapa jam kulitnya sudah bergumpal dengan bisul-bisul yang membengkak!

Kesakitan ditambah kepada dukacita

Ini cara yang dipilih Iblis untuk menyakitkan Ayub, walaupun Ayub tidak tahu kenapa atau bagaimana luka-luka dahsyat yang begitu menyakitkan itu tiba-tiba timbul dari atas kepalanya sampai tapak kakinya.

Memandang saja bisul-bisul kulitnya begitu menjijikkan sekali sehingga Ayub berasa malu walaupun dengan isterinya. Dia juga begitu kesakitan sekali sampai dia tidak dapatpun berfikir tentang pelaksanaan tugas-tugasnya. Walaupun seorang lain menjalankan perniagaannya, Ayub tidak dapat mengambil wang yang seharusnya miliknya. Justeru, Ayub menjadi miskin sama sekali tanpa apa-apa cara untuk menyara hidupnya. Dia tidak mahu duduk atau berbaring di sekitar rumahnya dan melihat ekspresi jijik daripada isterinya. Dia memutuskan untuk meninggalkan rumahnya dan pergi ke satu tempat abu tidak jauh dari situ. Di sana Ayub mengambil sekeping tembikar (beling) dan menggaruk-garuk dirinya dengannya sementara dia duduk di tengah-tengah abu itu (Ayub 2:7-8).

Duduk di tengah-tengah abu pada zaman itu merupakan satu tanda kerendahan hati, iaitu menyedari kedudukan kita dan tidak terlalu berbangga dengan diri kita.

Ayub dan isterinya kini mempunyai kehidupan yang amat pahit, tanpa anak-anak dan tiada pendapatan – dan dengan kesihatan Ayub hilang. Sedangkan dahulu Ayub merupakan seorang yang kaya dan penting, kini dia mendapati dirinya tanpa apa-apa dan dengan sedikit teman. Malah saudara-saudaranya tidak lagi berhubung dengannya. Dia tiba-tiba saja menjadi orang buangan masyarakat kerana teman-temannya berfikir Tuhan telah mengutuknya; dan semua kenalannya tidak lagi boleh menganggapnya sebagai kaya. Seperti dijanjikannya, Tuhan telah mengizinkan Iblis mengambil SEGALANYA daripada Ayub (Ayub 2:6).

Meskipun dengan kata-kata isterinya yang dia berlaku tolol, Ayub terus tinggal di timbunan abu itu. Malah di atas tumpukan lembut itupun dia sengsara, kerana sama ada dia duduk atau berbaring, bisul-bisul itu berasa amat sakit sekali dengan sedikitpun tekanan padanya.

Lewat satu malam isteri Ayub pergi ke timbunan abu itu. Dia malu pergi pada waktu siang kerana Ayub dahulunya seorang yang amat terkenal dan telah menderita kehilangan yang begitu besar sehingga kelihatannya bagi sesetengah orang yang dia mungkin telah menjadi gila. Isteri Ayub tentunya susah hati mengetahui yang tetangga sedang melihatnya. Daripada menghibur suaminya, dia mula berteriak padanya.

Sekarang pula – isteri yang mengomel!

“Kenapa engkau berkeras duduk di situ dalam kekotoran tempat ini sementara aku sudah putus asa berfikir bagaimana untuk menyara hidup?” dia memarahinya. “Kenapa engkau harus memalukan aku seperti ini? Kalau engkau fikir engkau hampir mati, kenapa buat di tempat seperti ini?”

Ayub terus duduk senyap, dan keadaan segera bising lagi.

“Ingatku engkau tentu akan lebih mementingkan aku, perempuan yang telah memberimu sepuluh anak,” isteri Ayub meneruskan. “Apa dapat engkau lakukan tanpa aku? Baikkah tempat ini untukmu, walaupun ramai orang sudah lupa engkau pada masa ini?”

Ayub tidak berkata apa-apa. “Kamu tiada harapan!” pekik isterinya. “Teruskan doa-doamu! Kamu hanya menambah kesengsaraanmu dengan berada di luar sini. Tidak kira berapa hari kamu duduk di sini memuji Tuhan, kamu akan mati! Kenapa tidak mengutuk Tuhan supaya Dia membunuhmu dan melepaskan kamu daripada sengsara?” (Ayub 2:9). Ayub bukan saja kehilangan kekayaan, anak-anak, kesihatan, kuasa, pengaruh, kehormatan, martabat dan sahabat tetapi kini juga telah kehilangan rasa hormat isterinya.

Isteri Ayub dengan tersedu-sedu berpaling untuk pergi, tetapi Ayub berdiri dan berbicara pedas.

“Engkau berkata-kata bodoh,” Ayub memberitahunya dengan tegas. “Engkau kedengaran seperti perempuan muda yang telah berdosa berat ketika masih berada dalam rumah bapanya. Kenapa kita harus mengeluh apabila kesusahan datang? Tuhan telah melakukan banyak perkara yang baik sekali untuk kita. Haruskah kita menjangka akan melalui hidup kita tanpa apa-apa kesusahan? Adakah kita percaya Tuhan harus memberi kita benda-benda yang baik saja? Haruskah kita memarahi Pencipta kita bila saja Dia mengambil balik sementara sesetengah benda baik yang banyak yang memang milikNya pada mulanya? Tidak! Kita harus bersyukur dan tidak mengeluh, tidak kira apa terjadi!” (ayat 10).

Isteri Ayub sedar betapa sia-sianya usaha untuk berbincang dengan seorang yang mempunyai sikap baik begitu terhadap Tuhan, dan dia berjalan pergi ke dalam kegelapan.

Beberapa sahabat yang tinggal

Oleh sebab jasa tingginya dalam hidupnya, Ayub mempunyai ramai kenalan yang kaya dan berpendidikan baik. Apabila khabar tersebar di seluruh negeri itu tentang keadaan Ayub, kebanyakan kenalan Ayub ini tertanya-tanya kenapa seorang yang begitu taat kepada Tuhannya boleh mendapat kemalangan dan kesengsaraan seperti itu. Kebanyakan mereka kemudian meninggalkannya.

Bagaimanapun, antara ramai orang yang kenal rapat dengannya, tiga orang sahabat baik Ayub merancang untuk bertemu dan melawatnya bersama (ayat 11). Nama-nama mereka ialah Elifas, Bildad dan Zofar, dan mereka datang dari wilayah-wilayah yang tidak begitu jauh.

Khalifah gabungan tiga orang ini tiba di rumah Ayub yang agak terabai untuk menemui hanya isterinya di situ.

“Engkau akan temui suamiku duduk atau tidur di timbunan abu kota tidak jauh dari sini,” dia dengan kaku memberitahu para pelawat itu.

Ketiga-tiga sahabat Ayub itu menyuruh hamba-hamba mereka untuk berkhemah tidak jauh dari timbunan abu itu. Kemudian mereka berjalan ke arah satu-satunya orang yang mereka dapat lihat dari jauh. Mereka diiringi seorang yang lebih muda bernama Elihu yang juga terpelajar dan bijaksana, dan dia, sebab kekagumannya terhadap semua pencapaian Ayub yang diketahui ramai, telah meminta untuk menyertai tiga sahabat itu (Ayub 32:2).

Walaupun bila para pelawat itu beberapa ela (yar) saja dari Ayub, mereka tidak boleh mengenalinya disebabkan bisul-bisul pada mukanya dan jumlah berat badannya yang telah hilang. Keadaannya lebih teruk lagi daripada yang mereka bayangkan sehingga mereka berfikir yang dia sudah hampir mati. Mereka menangis kesedihan melihatnya. Sekarang mereka mengerti bahawa ada lebih daripada satu sebab kenapa Ayub telah memilih untuk menghabiskan waktunya di timbunan abu. Ratusan bisul berdarah yang amat sakit menjadikannya hampir perlu.

Menurut kebiasaan zaman itu, ketiga-tiga orang itu mengoyakkan jubah mereka dan menaburkan debu di kepala mereka dalam kesedihan (Ayub 2:12).

Elihu dengan hormatnya berdiri berhampiran sementara Elifas, Zofar dan Bildad – yang semuanya lebih tua – melangkah dekat kepada Ayub. Ayub mengintai melalui kelopak matanya yang bengkak ke arah sahabat-sahabatnya. Dia tidak dapat menyentuh sesiapapun untuk menyambutnya, dan terlalu sakit untuknya menunjukkan penghargaannya atas kehadiran mereka dengan cuba berdiri. Dia tersentuh perasaan kerana mereka telah datang untuk menghiburnya, namun dia hanya mengangkat tangannya dan mengangguk kepada tiap mereka. Kemudian dia menundukkan kepalanya dan duduk dengan senyap. Sahabat-sahabat Ayub begitu takjub melihat betapa sengsaranya dia sehingga mereka duduk bersamanya dalam keadaan diam terkejut untuk berkongsi kesakitannya.

Kesunyian itu kekal satu minggu, dan sepanjangnya orang-orang itu duduk bersama Ayub siang dan malam (ayat 13). Pada akhir tujuh hari dan tujuh malam tanpa apa-apa percakapan, Ayub dengan sakitnya meluruskan tubuhnya dan tiba-tiba berbicara daripada bibir bengkak.

“Biarlah hari kelahiranku lenyap dan dilupai!” dia meraung. “Biarlah hari itu dikutuk! Janganlah kiranya Tuhan memasukkannya dalam bulan atau tahun!” (Ayub 3).

Kontroversi tentang penyebab keadaan Ayub

Para sahabat Ayub terkejut dengan ledakan tiba-tiba ini, tetapi mereka juga berasa lega mengetahui bahawa Ayub akhirnya telah memilih untuk bersuara. Ayub terus berbicara selama beberapa minit, menggambarkan bagaimana kematian lebih baik daripada kesedihan pahit keadaannya. Sesetengah ucapannya membuatkan sahabat-sahabatnya mencurigai dia mempunyai dosa tersembunyi, dan sebaik saja Ayub habis bercakap, Elifas bersuara.

“Aku harus katakan apa yang aku fikir,” dia bermula. “Engkau telah mengajar bangsaku dalam kehidupan dan dalam pembangunan perwatakan, tetapi sekarang bila kesusahan menimpamu, engkau pengsan. Jika engkau sedang dihukum kerana kesusahan tertentu yang kamu temui, pergilah kepada Tuhan. Jika Tuhan sedang menegur kamu, jangan bersedih tentangnya. Dia akan bersamamu melalui kesukaran dan pencubaan, dan engkau akan lanjut umurmu sebelum engkau mati” (Ayub bab 4 dan 5).

Elifas meneruskan lagi bicaranya, dan ada kata-katanya, sebaliknya, mendorong Ayub bercakap lebih banyak.

“Aku fikir engkau datang ke sini untuk menghibur aku,” dia berkata, “tetapi sekarang kamu menegur aku dan menuduh aku seorang jahat!” (Ayub bab 6 dan 7).

Ayub terus berbicara untuk seketika, dan apabila dia berhenti sementara, Bildad banyak bicaranya untuk membetulkan dia. Sebaik saja Ayub selesai menjawabnya, Zofar bercakap. Dia juga menegur Ayub, yang kemudian membela dirinya. Ini mengakhiri yang pertama daripada satu siri tiga percakapan luar biasa. Dalam dua perbincangan umpama perdebatan ini yang seterusnya terdapat lebih banyak teguran daripada sahabat-sahabat Ayub dan lebih banyak belaan daripada Ayub. Ketiga-tiga sahabat ini berkeras bahawa Tuhan sedang menghukum Ayub kerana berdosa. Ayub menegaskan Tuhan sedang menghukumnya tanpa apa-apa sebab. Malah hari inipun apabila ada orang sakit orang lain cuba menegaskan bahawa mereka telah berdosa dan itulah sebabnya kenapa mereka sakit. Ini bukan cara Tuhan bekerja atau berfikir.

Ayub sama seperti ramai orang hari ini yang berkata mereka sangat baik sehingga mereka selalu melakukan apa yang betul hanya kerana mereka mengasihi Tuhan. Alkitab mengatakan ini tidak benar (Yeremia 17:9; Yeremia 10:23; Amsal 12:15; Mazmur 39:5; 1 Yohanes 2:4; Yohanes 14:15). Sepanjang percakapan-percakapan ini antara Ayub dan tiga sahabatnya, yang dituliskan dalam Alkitab dalam bentuk puisi yang baik sekali, Ayub terus bertegas bahawa dia tidak berdosa dan tiada sebab untuk bertaubat (Ayub, bab 8 hingga 31).

Akhirnya ketiga-tiga sahabat yang lebih tua itu berhenti mencuba untuk menjawab Ayub kerana apa yang kelihatan seperti sikap benar dirinya (Ayub 32:1). Ini memberi peluang kepada Elihu yang muda yang menyuarakan pandangannya.

“Engkau cuba membenarkan dirimu daripada Tuhan,” dia memberitahu Ayub, dengan sopan dan hormat tetapi jelas. “Engkau tiga sahabat pula, engkau mengkritik Ayub tanpa dapat menjawab pembenaran dirinya” (Ayub 32:2-22).

Elihu terus bercakap dengan bijaksananya bagi seorang yang lebih muda, mengingatkan orang-orang lebih tua ini bahawa Roh Tuhan, bukan akal fikiran manusia, memberi kita jawapan sebenar kepada semua masalah. Dia terus menegur dan membetulkan kesemua empat lelaki itu kerana silap dalam sesetengah perkara yang mereka telah katakan. Namun dia tidak memperlakukan Ayub dengan kasar (Ayub 33:7). Kata-katanya yang baik sekali, seperti tertulis dalam bab-bab 33, 34, 35, 36 dan 37 Kitab Ayub merupakan beberapa daripada kata-kata paling bererti dalam Alkitab. Dia menunjukkan kepada orang-orang ini bahawa kesilapan Ayub bukanlah dalam dosa rahsia tertentu yang disembunyikannya – seperti yang mereka andaikan – tetapi dalam memuji dirinya dan bukan Tuhan, atas segala perbuatan benar yang Tuhan telah ilhamkan dia lakukan, dan dalam berfikir dia boleh MENDAPAT GANJARAN keselamatan dengan pekerjaan baik.

Elihu tahu bahawa kebenaran manusia sama seperti kain kotor (Yesaya 64:6). Tiga sahabat lebih tua itu telah bercakap tentang hak Tuhan untuk menghukum manusia kerana dosa. Elihu berbicara tentang kerelaan Tuhan untuk berbelas kasihan dan memberi keselamatan kepada mereka yang bertaubat. (Lihat juga Mazmur 103:10-14.) Nampaknya tiada lagi apa-apa untuk dikatakan atau dilakukan, jadi empat orang itu dengan letihnya bersedia untuk berangkat.

Walaupun waktunya siang, langit telah menjadi semakin gelap untuk beberapa lama. Jelas sekali cuaca buruk bakal terjadi. Di langit awan mula berputar dan mendidih. Kumpulan kecil atas timbunan abu itu tiba-tiba mendengar bunyi raungan angin. Ayub memandang ke atas, tetapi dia tidak bergerak. Sedar akan tiada gunanya melarikan diri, empat orang lain itu berdiam diri, namun bukan tanpa rasa takut. Bagaimanapun, beberapa orang yang ingin tahu yang berkumpul dekat timbunan abu itu lari untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Tuhan menyatakan kesalahan Ayub 

Entah bagaimana angin itu kelihatan meliputi kelima-lima orang itu – bukan untuk mencederakan mereka, tetapi dengan hati-hati memisahkan mereka daripada sekitaran mereka. Ada angin badai di sekeliling, tetapi tiada pada timbunan abu itu (Ayub 38:1).

Kemudian satu suara besar jelas keluar daripada angin yang mengelilingi itu (ayat 2). Terkejut, Ayub mula bangun, tetapi tiba-tiba dia sujud dengan mukanya ke bawah apabila menyedari yang dia disapa. Empat orang lagi begitu takut mereka juga sujud, menundukkan kepala mereka ke tanah.

“Siapa dia yang berpura-pura berbicara tentang hal-hal Tuhan yang paling bererti, tetapi tiada pengetahuan tentangnya?” suara kuat Malaikat Tuhan, bertanya (Ayub 38; 39; 40:1-2).

Ayub berasa malu dengan kata-kata yang menyakitkan itu sementara suara itu terus dengan membandingkan pengetahuan dan usaha remeh manusia dengan kebijaksanaan maha tahu dan kuasa penciptaan maha hebat Tuhan. Dia mengingatkan Ayub bahawa hanya Tuhan saja Pencipta agung. Sesudah Dia akhirnya berhenti berfirman, Ayub menjawab:

“Aku mengaku aku jahat dan hina, dan aku tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menjawabmu!” (Ayub 40:3-5).

Tuhan kemudian mengingatkan Ayub bahawa dia tidak mampu menyelamatkan dirinya – bahawa hanya Tuhan saja yang boleh memberi keselamatan – dan bahawa segala kuasa manusia datang daripada Tuhan, dan manusia bukan apa-apa tanpa Tuhan (Ayub 40:6-14).

Tuhan terus menyatakan betapa banyak lagi yang harus dipelajari manusia, sekalipun tentang makhluk-makhluk yang ada atas planet ini, dan bahawa tiada seorangpun selain Pencipta yang benar-benar memahami apa yang diperlukan untuk mencipta dan menguasai makhluk-makhluk sebegitu (Ayub 40:15-24; Ayub 41). Sesudah Tuhan berhenti berfirman, Ayub akhirnya melihat dirinya sebagai orang berdosa yang sangat tidak bernilai, yang memerlukan belas kasihan Tuhan sama seperti yang diperlukan setiap orang. Ayub kemudian mengambil peluang itu untuk berucap lagi, sementara dia terus berbaring di atas timbunan abu itu.

Ayub akhirnya bertaubat

“Aku menyesal aku berbicara seperti sebelumnya,” dia berkata. “Sekarang aku tahu yang engkau mengetahui segalanya dan boleh melakukan segalanya dan bahawa aku telah berbicara hal-hal yang aku tidak mengerti. Aku membenci diriku kerana menganggap dirimu terlalu bijak, terlalu berdaya cipta dan terlalu benar, sedangkan aku sebenarnya hanya debu dan abu!” (Ayub 42:1-6).

Tuhan kemudian berfirman kepada Elifas, sahabat tertua Ayub di situ.

“Aku sangat tidak senang dengan kamu bertiga,” katanya. “Engkau tidak berkata kepada aku apa yang betul, seperti yang dikatakan hambaku Ayub. Sekarang ambil tujuh lembu jantan dan tujuh domba jantan dan persembahkan itu untukmu sebagai korban bakaran. Hambaku Ayub kemudian akan berdoa untukmu. Jika kamu gagal berbuat demikian, aku akan berlaku kasar dengan kamu!” (ayat 7-8).

Tiga orang itu menurut. Korban bakaran dibuat, Ayub berdoa untuk sahabat-sahabatnya dan Tuhan menerima semua yang dilakukan (ayat 9). Tentang Elihu, dia tidak membuat tuduhan palsu terhadap Ayub atau membuat pernyataan tidak benar mengenai keadilan Tuhan. Dia baik bicaranya, dan Tuhan tidak menuntut persembahan daripadanya.

Keadaan sengsara Ayub lenyap tiba-tiba sebagaimana ia telah menimpa. Serta-merta selepas berdoa untuk tiga sahabatnya, bisul berdarah yang gatal dan sakit itu berkurang sampai hilang dan sembuh tanpa bekas. Ayub sekali lagi selesa dan sihat. Bermula dari itu, seolah-olah dengan ajaibnya, segala-galanya betul baginya. Semua saudaranya lelaki dan perempuan, dan sahabat-sahabat yang telah meninggalkannya kembali kepadanya untuk melawat dan menghiburnya serta membawa hadiah-hadiah wang dan barang perhiasan. Dia membeli ternakan, dan ternakan itu bertambah begitu baik sekali sehingga akhirnya dia mempunyai dua kali ganda kekayaan daripada sebelumnya! (ayat 10-12). Selain menggandakan bilangan binatang miliknya, satu berkat jasmaniah yang lebih besar lagi datang padanya.

Ini ialah keluarga baru. Tuhan menganugerahkan Ayub dan isterinya tujuh anak lelaki dan tiga anak perempuan lagi, dan anak-anak perempuannya dikenali sebagai perempuan tercantik di negeri itu (ayat 13-15).

Ayub memang mempunyai anak-anak dewasa apabila kesusahan besar itu menimpanya, tetapi selepas itu dia hidup bertahun-tahun lagi dan melihat cucu-cucunya sampai keturunan keempat (ayat 16-17).

Sepanjang abad-abad kemudian Ayub telah dikenali sebagai orang paling sabar pernah hidup. Bagaimanapun, seharusnya lebih sesuai kita mengenalnya sebagaimana yang ditunjukkan Alkitab – dia mungkin orang yang paling benar diri di dunia ini. Bersifat benar diri tidak sentiasa bererti memandang rendah orang lain sebagai orang berdosa yang hina sementara melihat diri sendiri sebagai sangat baik. Dalam keadaan Ayub, ini bererti bahawa dia begitu prihatin dan bangga mentaati sehingga dia merasakan dirinya tidak berdosa, dan bahawa penderitaan besarnya datang tanpa sebab.

Ayub memerlukan beberapa pengajaran untuk belajar tentang dirinya dan Penciptanya tetapi dia tidak pernah putus asa dengan Tuhan. Dia terus teguh dalam kepercayaannya dan keyakinannya dalam Tuhan, walaupun semua orang lain menentangnya.

Kesudahan bahagia kisah in ialah selepas banyak percubaan Ayub dapat melihat kekurangannya dan sudi bertaubat. Pertaubatannya inilah yang mengakhiri percubaan besarnya itu. Ayub mempersembahkan korban untuk mereka yang dikatakan sahabatnya yang salah menuduhnya. Kita diingatkan di sini bahawa kita harus mengasihi musuh kita dan berdoa untuk mereka yang menganiaya (atau mengganggu) kita (Matius 5:44). Lihat juga karya Mengerti Ucapan Bahagia (No. CB27).

Pengalaman manusia yang penting ini mungkin telah kehilangan sepenuhnya bagi kita hari ini. Namun Tuhan memerintahkan kepada Musa, ketika pengembaraan padang gurun itu, bahawa kisah penderitaan Ayub harus menjadi Kitab Suci – satu bahagian penting “Perjanjian Lama” Alkitab, untuk kegunaan kita hari ini.

sumber : http://www.ccg.org/indonesian/c/cb054.html (Friday, July 15th 2011)